Terima kasih Tuan Yang di-Pertua,
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan junjungan kasih yang tidak terhingga di atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud, mencemar Duli bagi merasmikan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke-12 di Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua,
Keputusan pilihanraya umum baru-baru ini telah membuka mata kita semua, khususnya kepada Barisan Nasional. Disebalik gelombang Tsunami politik, apa sebenarnya yang dikehendaki rakyat?
Dengan kata mudah, rakyat sudah bersuara – mereka mahukan perubahan. Namun, ini tidak bermakna, rakyat menolak Barisan Nasional. Hakikatnya, mereka masih perlukan Barisan Nasional. Namun, rakyat mahu BN mengubah sikap dan cara ia merajui negara.
Kerajaan Barisan Nasional telah mentadbir negara sejak lebih lima puluh tahun lalu, dan berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang. Sebagai sebahagian daripada kerajaan, itulah apa yang saya rasa. Bukankah rakyat telah memberi mandat kepada BN dari semasa ke semasa? Dan ia menjadi pegangan kerajaan untuk memberikan apa yang ia percaya diperlukan oleh rakyat. Pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosio ekonomi, menaiktaraf hidup dan menjaga kebajikan rakyat, mengangkat reputasi politik di arena antarabangsa, peluang pendidikan lebih luas, mengurangkan jurang pendapatan – ini semua membuktikan BN berjaya membawa negara daripada ekomoni tradisional kepada negara perindustrian yang dikenali dunia. Kita di Barisan Nasional percaya bahawa kita telah melakukan sesuatu yang betul.
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, kerajaan, menerusi Barisan Nasional, telah ditimbang dan diukur secukupnya. Keputusan yang diperoleh – kerajaan tidak dapat memenuhi sepenuhnya, harapan dan aspirasi rakyat. Rakyat berpendapat, BN tidak lagi berupaya mendengar suara mereka. Kita telah mencabar rakyat supaya meluahkan suaranya menerusi peti undi. Itulah yang telah mereka lakukan. Dan, jika kita tidak memahami mesej itu sebelum ini, sudah jelas dan nyata sekarang, BN mempunyai kekurangan yang perlu diatasi.
Tuan Yang Dipetua,
Kini bukan lagi masa untuk memberi alasan atau tuduh menuduh sesiapa. Perkara yang sepatutnya disegerakan ialah memperbetulkan kelemahan yang dikenalpasti. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan melakukan apa yang BN, dengan pengalaman dan sumber yang luas selain kuasa yang dipegang selaku jentera kerajaan, boleh lakukan. Lagipun, rakyat telah memberi mandat kepada BN untuk mentadbir negara selama 5 tahun lagi. Kepada yang tidak mengundi BN, kami meminta mereka agar tidak menutup pintu tetapi berilah kami peluang untuk mengembalikan keyakinan kepercayaan yang hilang. Tidak boleh dinafikan, jalan ini adalah panjang dan berliku dan BN perlu menelan segala penawar yang pahit untuk memenangi semula hati dan pemikiran rakyat Malaysia. Rakyat yang saya maksudkan disini ialah semua warganegara yang tinggal dan bekerja keras untuk hidup di tanah air yang tercinta. Saya tidak hanya maksudkan orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban. Yang saya maksudkan ialah semua individu yang membentuk populasi Malaysia secara seluruhnya.
Di mana silap kita? Mari renungkan perkara-perkara asas. Setiap kerajaan memegang amanah kepada rakyat masing-masing untuk menyediakan segala keperluan asas seperti keselamatan, perumahan, pendidikan, kesihatan dan keadilan.
Di mana kedudukan kita dalam isu-isu daripada kaca mata rakyat? Kerajaan Barisan Nasional telah menunaikan tanggungjawabnya dengan baik sejak bertahun lalu. Malah, dalam beberapa bidang, ia berjaya melaksanakannya dengan cemerlang. Namun, dalam beberapa bidang lagi, masih ada ruang yang perlu diperbaiki.
Tuan Yang Dipetua,
Apa tanggapan rakyat mengenai keselamatan?
Kadar jenayah telah meningkat secara ketara, terutamanya dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Tahun lepas, statistik menunjukkan, jenayah keganasan meningkat kira-kira 13 peratus, kes rogol bertambah 30 peratus dan rompakan berkumpulan melonjak hampir 160 peratus. Keadaan ini amat membimbangkan dan perlu ditangani segera. Bagi menghapuskan kebimbangan rakyat, kita perlu mengambil beberapa pendekatan, antaranya memastikan lebih ramai anggota polis ditempatkan di kawasan-kawasan yang dikenalpati berisiko tinggi berlakunya jenayah dan menubukhan lebih banyak pondok polis, termasuk di kawasan-kawasan perindustrian dan perumahan. Jumlah polis pelancong juga perlu ditambah di lokasi-lokasi tumpuan pelancong.
Kini, keyakinan rakyat terhadap pihak polis sedikit terhakis disebabkan oleh jumlah kes bunuh berprofil tinggi yang masih belum berjaya diselesaikan. Contohnya, pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Lunas, Dr Joe Fernandez, lapan tahun lalu dan pembunuhan seorang profesional IT warga Singapura di Kuala Lumpur. Dalam usaha untuk memperkasakan bidang siasatan polis, kita perlu memperkukuhkan sains forensik dan menubuhkan makmal-makmal jenayah yang moden. Mungkin, kita perlu menimbang dengan serius untuk menerima pakai 125 cadangan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia. Marilah kita memberi perhatian kepada saranan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, bahawa masih banyak ruang yang boleh diperbaiki bagi menjadikan PDRM sebuah pasukan ulung.
Alasan yang diberi, termasuk statistik kadar jenayah di Malaysia lebih rendah berbanding beberapa negara lain, tidak akan menimbulkan rasa selamat dan selesa dalam kalangan rakyat. Malah, rakyat rata-rata kurang mengambil endah dengan statistik berkenaan. Rakyat cuma tahu, sejumlah wang perlu dibelanjakan untuk mengupah pengawal keselamatan bagi menjaga kawasan kediaman mereka. Persoalan yang timbul – mengapa mereka perlu mengupah ’polis profesional’. Ironinya, pagar dan konsep kawal yang dahulunya hanya boleh ditemui di kawasan kediaman mewah kini boleh dilihat di mana-mana premis kediaman, bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sudah menjadi satu keperluan.
Tuan Yang Dipetua,
Bagaimana dengan pendidikan?
Sememangnya, rakyat boleh berbangga dengan sistem pendidikan negara. Pendidikan sekolah rendah adalah wajib dan percuma. Bagi peringkat menengah, subsidi disediakan dan terbuka kepada semua rakyat yang memerlukannya. Sehubungan itu, tiada sebarang isu yang timbul mengenai perkara berkenaan. Isu sebenarnya ialah kurangnya ruang pendidikan di peringkat tinggi. Saban tahun, ramai pelajar yang benar-benar layak tidak mendapat tempat di universiti tempatan. Ini menyebabkan timbul persepsi, berlaku ketidakadilan dari segi pengagihan tempat dan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak dan dasar meritokari tidak dilaksanakan sewajarnya. Malah, kerap timbul tuduhan berhubung dasar kemasukan secara berat sebelah ke universiti-universiti tempatan.
Ramai pelajar tidak berpuas hati kerana mereka tidak diberi peluang memasuki program matrikulasi yang hanya mengambil masa satu tahun berbanding dua tahun bagi STPM. Untuk mengatasi masalah ini, saya mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan sistem tunggal bagi kemasukan ke universiti tempatan. Namun, jika sistem sedia ada diteruskan, peluang untuk mengikuti program matrikulasi wajar dibuka kepada semua kaum.
Penempatan pelajar secara adil dan saksama di universiti tempatan, bantuan kewangan dan biasiswa kepada mereka yang benar-benar layak, dasar meritrokasi yang berterusan akan memperkukuhkan modal insan negara – ini merupakan ruang-ruang dalam pendidikan yang diharap dapat diberi perhatian.
Rakyat juga tidak berpuashati dengan layanan yang diberi kepada sekolah-sekolah vernakular. Mereka mempersoalkan – mengapa sekolah-sekolah berkenaan dipinggirkan dan tidak dianggap sebagai sebahagian dalam sistem pendidikan nasional. Mengapa penubuhan sekolah-sekolah vernakular tidak dimasukkan dalam program pembangunan biasa Kementerian Pelajaran mengikut keperluan rakyat, tetapi penubuhannya dianggap sebagai satu tolak ansur politik? Kenapa tidak ada sebarang cadangan untuk menubuhkan sekolah-sekolah vernakular dalam program pembangunan biasa Rancangan Malaysia ke-9.
Tuan Yang Dipetua,
Keadilan
Tidak dapat dinafikan bahawa sistem kehakiman merupakan satu lagi elemen yang mengguris rakyat. Sejak bertahun-tahun lamanya, imej dan integriti badan kehakiman tercalar. Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri telah menyarankan penubuhan satu suruhanjaya bebas bagi mengendalikan urusan pelantikan hakim dan kenaikan pangkat hakim. Ini dilihat sebagai langkah pertama untuk mengembalikan maruah institusi kehakiman di negara ini. Bagi sesetengah pihak, ia mungkin satu tindakan yang sudah terlambat. Namun, saya berpendapat, ia lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Di sini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri kerana telah menggerakkan usaha ke arah pembaharuan sistem kehakiman.
Penubuhan suruhanjaya pelantikan hakim, penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah – ini merupakan antara contoh, apa yang boleh kita lakukan apabila kerajaan mengambil berat mengenai perkara itu. Seperti titah Seri Paduka, langkah Perdana Menteri untuk memperkasakan institusi kehakiman menggambarkan komitmen kerajaan untuk memastikan sistem kehakiman adil, dihormati dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak. Dan, kami berharap, lebih banyak pembaharuan dapat dilakukan.
Kebimbangan mengenai ekonomi dan sosio politik
Tuan Yang Dipetua,
Barisan Nasional telah terbukti berjaya mentadbir negara dengan cemerlang. Pertumbuhan ekonomi dalam semua bidang berjaya ditingkatkan. BN juga berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat ke paras yang baru. Ini termasuk memperbaiki perkhidmatan kesihatan, memperluas bidang pendidikan, mengurangkan jurang pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan. Apa sebenarnya punca pengundi mula membelakangkan Barisan Nasional? Saya tidak mempunyai jawapan yang dibuktikan menerusi kajian empiris kepada soalan itu. Sebab umum yang disebut-sebut oleh mereka yang mahukan perubahan ialah sikap BN yang bongkak dan menekan. Saya tidak berhasrat untuk memperdebat, sama ada tuduhan itu adalah benar. Cukuplah dengan menyatakan bahawa keputusan pilihanraya antara lain menegaskan, tanggapan pengundi yang cenderung kepada tuduhan-tuduhan tersebut.
Sejak penubuhan MCA, kami sentiasa yakin kepada model kerjasama berteraskan kaum. Setiap parti mewakili kumpulan etnik yang berbeza, tetapi berkongsi perjuangan yang sama. Mengimbas kembali zaman pemimpin-pemimpin dahulu menuntut kemerdekaan daripada British, perlu diingat, tiga parti terlibat adalah setaraf. Perlu juga diingat bahawa antara cabaran tujuan rombongan yang dihantar ke England ialah membuktikan kepada penjajah bahawa walaupun mempunyai pelbagai perbezaan, kita mampu hidup bersama dengan harmoni. Ketika itu, Orang Putih berpendapat, adalah mustahil bagi masyarakat berlainan kaum duduk sebumbung secara aman. Rakyat Malaysia adalah berbeza. Mereka mempunyai agama yang berbeza dan berturut dalam bahasa yang berbeza. Malah, makanan mereka juga berbeza. Perbezaan ini telah wujud sejak dahulu lagi. Namun kita berjaya meyakinkan mereka bahawa kita berupaya hidup aman bersama.
Media baru penuh dengan kritikan terhadap keharmonian dan amalan hormat menghormati antara kaum. Dan, jika seseorang itu biasa menggunakan media baru, dia akan menemui banyak kenyataan tidak baik terhadap kaum tertentu yang ditulis oleh ahli politik yang terlalu ghairah. Tidak ada salahnya menggalakkan sesuatu kaum untuk memajukan diri. Tetapi adalah salah jika melakukannya dengan menghina dan mencetuskan perasaan tidak puas hati terhadap kaum lain. Selagi ada kelompok rakyat yang menganggap kaum mereka tidak mendapat hak yang sewajarnya, keharmonian yang diidam-idamkan pemimpin-pemimpin dan rakyat Malaysia, akan kekal sebagai impian. Yang menyedihkan, walaupun sedar, prasangka seumpama itu pada hakikatnya, masih wujud.
Program-program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan perlu dilihat membawa manfaat kepada seluruh rakyat, tanpa mengira kaum, dan harus berdasarkan keperluan. Sewajarnya, kerajaan berada di barisan hadapan, memperjuangkan konsep meritokrasi di semua peringkat. Dalam konteks ini, syarikat berkaitan kerajaan atau GLCs (dengan izin) tidak seharusnya memberi tumpuan kepada satu kaum sahaja. Rakyat akan menimbulkan persoalan – mengapa GLC-GLC hanya diterajui oleh satu kaum? Adakah kerana, tiada kaum lain yang layak untuk mengetuai GLC? Sektor perkhidmatan awam juga perlu mencerminkan komposisi kaum yang lebih adil, terutama melibatkan perkhidmatan-perkhidmatan di kaunter.
Pemberian kontrak-kontrak kerajaan, khususnya kontrak kecil tidak sepatutnya berdasarkan kaum, tetapi perlu berasaskan kemampuan dan pengalaman. Kriteria seperti pengalaman sesebuah syarikat atau kontraktor, latar belakang dan rekod prestasi wajar menjadi kriteria-kriteria penting untuk dipertimbangkan. Malah, institusi perbankan juga harus menggunakan kriteria tersebut dalam meluluskan pinjaman kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana.
Kesimpulan
Tuan Yang Dipetua,
Rakyat mahukan perubahan. Perubahan berada dalam tangan kita. Dari perspektif MCA, saya sedari, masyarakat Cina di Malaysia, yang hak mereka kami perjuangkan, menganggap kami sebagai mengecewakan. Namun, saya tidak mahu membuat anggapan bahawa pilihanraya umum ke-12 menjadi titik tolak kepada kejatuhan parti-parti politik berteraskan kaum. MCA bermula sebagai sebuah pertubuhan yang membantu pekerja Cina menyesuaikan diri di Tanah Melayu yang dipilih sebagai tanah air yang baru. MCA memutuskan untuk membabitkan diri dalam politik selepas ia merasakan pihak British meminggirkan masyarakat Cina dalam peruntukan perlembagaan.
Saya ingin tegaskan, kami telah melakar pelbagai kejayaan – memartabatkan sekolah-sekolah Cina, kampung-kampung baru, budaya masyarakat Cina, pendidikan serta mewujudkan peluang pendidikan, perusahaan kecil dan sederhana dan sebagainya. Kita pernah dianggap relevan. Namun, angin perubahan bertiup kencang. Pilihanraya umum ke-12 menyaksikan Barisan Nasional kalah di lima negeri. Para pengalisis berpendapat, ia merupakan undi protes terhadap kerajaan BN.
Selaras dengan angin perubahan yang jelas dilihat dalam Pilihanraya umum Mac lalu, saya berpendapat, parti MCA dan BN seharusnya memberi perhatian serius kepada isu-isu baru, selain isu-isu yang saya sebutkan tadi. Ini penting jika MCA dan BN mahu menjadi parti yang relevan kepada semua rakyat, terutama golongan muda. Kami mesti memperluaskan dimensi dan strategi kami untuk memenuhi aspirasi rakyat.
Hakikatnya, rakyat bukan menyebelahi pembangkang, namun keyakinan mereka kepada BN sedikit terhakis. Secara kesimpulan, rakyat mahukan perubahan. Perubahan itu boleh datang dari kita atau tanpa kita. Tempoh lima tahun dari sekarang merupakan waktu paling getir buat kita. Perubahan amat mustahak bagi kelangsungan kerajaan.
Dengan ini, saya ingin memohon menyokong.
Sekian, terima kasih.
# Datuk Seri Dr Fong Chan Onn adalah Naib Presiden MCA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment